FAIL MERAH BAB 3: DUGAAN KEDUA
Salam Fadneiras,
Selamat kembali ke F. Mooneira's Bookshelf. Minggu lepas, aku sudah mengkongsikan kulit novel Fail Merah bersama kalian semua. Selain itu, promotional poster juga telah aku naikkan di laman web ini, blog, Instagram, Twitter, Facebook Page, dan TikTok. Jadi kalian bolehlah intai kulit novel dan promotional poster Fail Merah ^_^
Untuk makluman, novel Fail Merah kini berada dalam proses pencetakan. Novel ini juga telah mendapat bar code ISBN dan telah dilabelkan sebagai HAK CIPTA TERPELIHARA. Oleh itu, tiada bahagian daripada terbitan ini boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau ditukar dalam apa bentuk atau dengan alat apa jua pun, kecuali setelah mendapat kebenaran bertulis daripada Fadneira Imaginative Empire.
Insya-Allah, novel Fail Merah akan diterbitkan pada Isnin minggu hadapan, 29 Ogos 2022. Untuk makluman kalian juga, harga senaskah untuk novel Fail Merah ialah RM29.00 untuk Semenanjung Malaysia, dan RM31.00 untuk Sabah & Sarawak. Kepada yang berminat, boleh pre-order novel ini daripadaku sekarang. Kalian boleh DM aku di Instagram @mughunghwa atau e-mel saya di garnet.earthtiger@gmail.com.
Minggu ini, aku kongsikan Bab 3 novel Fail Merah yang bertajuk Dugaan Kedua untuk kalian semua membuat free-reading. Selamat membaca lewah ^_^
XoXo,
Fadima Mooneira ^_^
(PENULIS NOVEL FAIL MERAH)
MASA BERLALU. Sudah sebulan Tuan Muhayat meninggalkan alam fana. Puan Asra dan anak-anaknya menjalankan kehidupan harian mereka seperti biasa.
Hari ini, Puan Asra pulang ke rumah jam 4.30 petang. Baru sahaja setengah jam dia berehat, pintu rumahnya diketuk. Puan Asra mengintai di lubang pintu. Dia ternampak seorang lelaki yang berusia pertengahan tahun di belakang pintu. Lelaki itu berbaju kerja, dan membawa sebuah fail. Puan Asra membuka pintu.
“Assalamualaikum,” lelaki itu bersuara. Nadanya agak garau.
“Salam,” balas Puan Asra dengan lembut.
“Nama saya Tuan Sabrin, dari Polis Diraja Malaysia (PDRM). Saya mahu bercakap dengan Puan Asra, isteri kepada arwah Tuan Muhayat. Boleh saya masuk?” tanya Tuan Sabrin dengan penuh sopan.
“Saya Puan Asra, Tuan. Boleh saya tahu tujuan sebenar Tuan untuk berjumpa dengan saya?” tanya Puan Asra. Nada Puan Asra masih tenang walaupun hatinya ada sedikit perasaan resah. Dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena.
“Puan, saya ada perkara yang nak bincangkan, dan ia ada kena mengena dengan arwah Tuan Muhayat,” kata Tuan Sabrin dengan nada yang agak tegas.
Puan Asra mula gelisah. Namun dia masih menguatkan diri. Tangan kanan Puan Asra mengepam penumbuk walaupun dia tiada niat untuk menumbuk Tuan Sabrin.
“Bertenang Asra,” omel Puan Asra yang cuba memujuk dirinya untuk bertenang.
“Perkara apa yang Tuan nak bincangkan mengenai arwah suami saya?” tanya Puan Asra selepas menarik nafas.
“Perkara yang saya nak bincangkan ini agak panjang. Puan tolong beri izin saya masuk ke dalam rumah dulu. Nanti kita boleh berbincang dengan baik.” Lagi sekali Tuan Sabrin meminta izin untuk masuk ke dalam rumah Puan Asra.
“Tuan beritahu dulu perkara yang Tuan nak bincangkan dengan saya. Nanti baru saya boleh bagi Tuan masuk.” Puan Asra bertegas. Nadanya agak garang kali ini.
Tuan Sabrin mengeluh dan menarik nafas. Dia berasa geram dengan sikap degil yang ditunjukkan oleh Puan Asra. Ikutkan hati nak sahaja dia tolak wanita berusia pertengahan tahun ini dan menyerbu ke dalam rumah. Tetapi dia masih mampu bertenang dan bersikap profesional.
“Puan… macam ni…” Tuan Sabrin dengan berhati-hati memulakan ayat. “Sebelum ini kami, pihak PDRM ada buat siasatan mengenai Tuan Muhayat. Kami dapati Tuan Muhayat telah menjual kad pengenalan palsu kepada warga asing,” jelas Tuan Sabrin. Dia berharap agar Puan Asra menerima ceritanya dengan tenang.
“Ya Allah! Sejak bila suamiku buat semua tu?” tanya Puan Asra dengan nada yang tinggi.
Puan Asra tidak puas hati dan langsung tidak percaya dengan apa yang dikatakan oleh Tuan Sabrin. Puan Asra sangat kenal dengan sikap suaminya. Arwah Tuan Muhayat merupakan seorang manusia yang mempunyai integriti. Tidak mungkin arwah suaminya sanggup berbuat demikian.
“Puan... bertenang dahulu. Izinkan saya masuk ke dalam rumah. Nanti saya boleh ceritakan dengan lebih jelas.” Tuan Sabrin meminta izin untuk kali ketiga. Dia juga meminta Puan Asra untuk bertenang. Dada wanita itu sudah kelihatan seperti ombak yang sedang bergelora.
Emil yang sedang mengulang kaji pelajaran di dalam bilik, turun ke ruang tamu apabila terdengar mamanya menjerit. Dia segera ke pintu utama rumah. Emil memegang bahu mamanya sambil merenung tajam ke wajah pegawai polis yang bernama Tuan Sabrin.
“Ini cerita palsu. Bapa saya tak akan berbuat demikian. Jangan pandai-pandai nak menuduh!” marah Emil kepada Tuan Sabrin. Sebelum turun menghadap Tuan Sabrin, Emil tadi telah mencuri dengar perbualan mamanya bersama pegawai PDRM itu. Dia tadi berdiri di tepi tangga.
“Adik, ini hal orang dewasa. Jangan menyampuk,” kata Tuan Sabrin kepada Emil.
“Bertenang, Mil. Biar mama uruskan hal ini. Mil masuklah bilik ulang kaji pelajaran.” Puan Asra meminta anak lelakinya untuk tidak masuk campur urusan dia dan Tuan Sabrin. Puan Asra turut menenangkan Emil.
“No mama... anything about this family is my business. Especially when it’s about baba.” Emil sangat sayangkan arwah Tuan Muhayat. Dia pantang sekali kalau orang cakap buruk tentang babanya.
“Tuan! Berambus sekarang!” Emil menghalau Tuan Sabrin dengan nada yang tinggi dan keras. “Jangan buat tuduhan seperti itu terhadap arwah bapa saya. Apa yang kami alami sebulan yang lalu sudah cukup,” sambung Emil. Suaranya mula sebak.
“Tapi ini bukan tuduhan. Ini kes benar. Pihak polis ada bukti… Tuan Muhayat buat semua tu!” balas Tuan Sabrin dengan nada yang kasar. Lelaki berusia pertengahan tahun itu sudah mula naik berang dengan sikap Emil yang dianggap tidak menghormati orang tua.
BANG!!!!!!!!!!!!! Dengan perasaan marah yang tidak dapat dikawal, Emil menumbuk muka Tuan Sabrin.
“Emil! Bersabar nak!” Puan Asra terkejut dengan tindakan Emil. Dia segera memegang tangan anaknya.
“Sekali lagi saya cakap... berambus dari sini! Binatang!” jerit Emil lagi.
“Emil bawa bertenang. Jangan macam tu nak. Kita dengar dulu cerita penuh Tuan Sabrin,” kata Puan Asra lagi. Dia masih memegang tangan Emil dengan erat. Mata Puan Asra sudah mula berkaca jernih.
Puan Asra faham akan perasaan Emil. Tetapi pada Puan Asra, Emil tidak sepatutnya berbuat demikian terhadap Tuan Sabrin. Emil masih remaja. Dia perlu menghormati Tuan Sabrin walaupun hatinya sedang membara terhadap lelaki itu.
“Mil... mama faham perasaan Mil. Tapi Mil tak boleh buat macam tu dekat Tuan Sabrin. Mama mohon Mil bertenang dulu. Kita dengar cerita Tuan Sabrin dulu ya?”
Emil hanya mengangguk dan bersetuju dengan mamanya. Mereka akhirnya membenarkan Tuan Sabrin masuk ke dalam rumah untuk menyambung cerita.
Emil mempelawa Tuan Sabrin duduk di ruang tamu bersamanya. Puan Asra pula ke dapur untuk menyediakan air kepada Tuan Sabrin.
Setelah Puan Asra kembali ke ruang tamu, Tuan Sabrin pun menyambung ceritanya. Apa yang diceritakan oleh Tuan Sabrin memang sukar diterima Puan Asra dan Emil.
Tuan Sabrin memberitahu Puan Asra dan Emil bahawa Tuan Muhayat telah menjual sebanyak 150,000 kad pengenalan palsu kepada warga asing. Fail yang dibawa tadi ditunjukkan kepada Puan Asra dan Emil sebagai bukti.
Kedua anak-beranak itu terkejut dan tidak berkata apa-apa. Mereka saling berpandangan.
Namun, Puan Asra dan Emil tiada bukti untuk membela nama Tuan Muhayat. Tuan Sabrin turut memberitahu Puan Asra dan Emil bahawa jumlah duit yang Tuan Muhayat peroleh dari jualan itu akan dirampas semula oleh PDRM.
PADA MALAM hari yang sama, Emil tidak dapat lena. Emil tidak puas hati. Dia tahu dan percaya yang babanya tidak lakukan perbuatan keji itu. Apa yang dikatakan oleh Tuan Sabrin tadi memang adalah tuduhan. Tuduhan!
Emil meronta-ronta di atas katil. Dengan perasaan marah, dia menumbuk-numbuk tilam katil.
“Waaaaaaaaaaarrrrrrrrggggggggghhhhhhhh!” Tanpa Emil sedari, jeritan batinnya terkeluar dari mulut.
Jeritan Emil didengari oleh Puan Asra. Puan Asra terkejut.
“Ya Allah… kenapa dengan anak aku ni?” Dia berkata dalam hati. Puan Asra risau. Dia segera bangun dari tempat tidurnya, membuka pintu, dan menuju ke bilik Emil.
Tokk… Tokk… Tokk… Puan Asra mengetuk pintu bilik Emil.
“Mil, ok ke?” tanya Puan Asra dengan nada yang risau.
Apabila terdengar suara Puan Asra di luar pintu bilik, Emil tersedar bahawa jeritan batinnya sudah menjadi jeritan mulut. Dia terus mendiamkan diri.
Puan Asra masih berdiri di luar pintu dan menanti anaknya untuk menyahut. Tetapi Emil langsung tidak menyahut.
“Mil, kalau tak ada apa-apa mama masuk dulu ya,” kata Puan Asra lalu beredar dari pintu bilik Emil. Dia sedikit geram kerana anaknya langsung tidak menyahut.
Emil mengucap untuk mengawal kemarahannya.
“Ya Allah... kenapalah kami sekeluarga diduga seteruk ini?” omel Emil. Emil menggulingkan badan di bawah selimut.
“Baba tak mungkin buat semua ini. Baba aku bukan orang keji.” Emil marah dalam hati.
Walaupun hatinya sangat marah, tetapi Emil masih mampu mengucap dan berdoa. Emil memanjatkan doa semoga apa yang berlaku ini adalah tuduhan yang tidak betul. Semoga esok atau lusa pihak polis akan sedar bahawa Tuan Muhayat tidak berbuat demikian. Semoga tuduhan ini akan ditarik balik. Tuduhan ini tidak sepatutnya berlaku.
Air mata Emil mula membasahi bantal. Hatinya remuk dan berkecai. Emil sangat sayangkan arwah Tuan Muhayat. Pemergian Tuan Muhayat sebulan yang lalu sudah cukup membuatkan Emil sedih.
Pemergian itu adalah pemergian yang mengejutkan. Tiada siapa yang jangka bahawa Tuan Muhayat akan pergi dengan begitu mudah dan cepat.
“Baba… Emil rindu baba,” kata hatinya lagi. Emil segera sedekahkan Al-Fatihah kepada Tuan Muhayat. Semoga roh arwah babanya ditempatkan di kalangan hamba Allah S.W.T yang beriman dan soleh. Doa Emil untuk arwah Tuan Muhayat.
PADA HARI berikutnya, Emil bangun pada jam 6.10 pagi. Emil membersihkan diri dan menunaikan solat subuh. Kepalanya masih pening. Kedua belah matanya pula lebam akibat tidak cukup tidur.
Emil tidak dapat tidur lena malam semalam. Dia asyik memikirkan masalah yang sedang dihadapi bersama keluarganya. Setelah selesai bersiap, Emil turun ke ruang tamu untuk bersarapan bersama Puan Asra dan Emilia.
“Gasp!” Emilia terkejut melihat wajah abangnya yang kelihatan begitu sembab. Tidak ceria seperti selalu.
“Kau sihat ke ni nak?” tanya Puan Asra. Dia juga risau melihat wajah Emil.
Emil hanya mengangguk perlahan. Dia terus mengambil tempat di sebelah Emilia untuk bersarapan.
“Abang nampak macam dah nak jadi Drakula je,” usik Emilia.
Emilia cuba untuk menggembirakan suasana. Namun Emil tidak membalas. Anak teruna itu hanya diam dan menyapukan mentega ke atas roti.
Emilia memandang wajah abangnya. Gadis kecil itu hairan. Abangnya selalu tidak pernah macam ini setiap pagi. Mereka selalu bergurau senda dan berjenaka semasa bersarapan. Pemergian Tuan Muhayat sebulan yang lalu sekaligus telah mengubah kehidupan mereka sekeluarga.
“Emil, hari ini mama tak akan ke sekolah. Mama nak pergi Bukit Aman untuk selesaikan masalah,” Puan Asra memberitahu anaknya.
“Ok ma, Emil dan Emilia akan naik basikal hari ini,” beritahu Emil. Dia menghadiahkan senyuman kepada Puan Asra. Emil tidak mahu Puan Asra risaukannya dan Emilia.
PADA WAKTU rehat, Emil dan Jasper menikmati mi sup di kantin. Tiba-tiba mereka dihampiri oleh tiga orang pelajar lelaki. Salah seorang pelajar menolak mangkuk mi sup yang sedang dinikmati Emil.
Kedebush! Mangkuk itu jatuh ke lantai bersama isinya. Emil merenung mangkuk tersebut, lalu mengangkat muka dan memandang pelajar lelaki itu dengan perasaan marah.
“Hei sampah!” kata pelajar tersebut. “Kau tahu tak... bapak kau yang dah mampus tu buat apa? Ish.. .ish... kejinya,” kata pelajar lelaki itu. Wajahnya kelihatan sinis.
“Hoi! Lu jangan nak kurang ajar!” marah Jasper yang bangun dari tempat duduknya. Jasper menghampiri pelajar itu.
“Kau Cina makan babi diamlah! Kau pun sama najis!” kata pelajar itu sambil menolak Jasper. Kurang ajar sungguh.
“Hei semua orang... kalau korang nak tahu ni lah dia Emil Muhayat. Anak polis yang jual kad pengenalan palsu kat bangla-bangla tu...” sambung pelajar itu sambil menuding jarinya pada Emil. Semua pelajar yang berada di kantin memandang ke arah Emil. Emil mula naik berang.
“Woi!” Emil bangun dari tempat duduknya, lalu menarik kolar baju pelajar tersebut. “Kau jangan nak pandai-pandai menuduh! Mana ada bapa aku buat macam tu! Hormat sikit!” marah Emil. Nadanya meninggi.
“Apa nak kata tipunya. Kan akhbar Berita Harian dah keluarkan dah pun cerita bapak kau,” kata salah seorang rakan kepada pelajar yang kurang ajar itu.
Berita Harian? Bila pula keluar cerita Tuan Muhayat di Berita Harian? Cepat sungguh cerita Tuan Muhayat tersebar. Padahal baru sahaja petang semalam seorang pegawai PDRM melawat keluarga Emil. Malah tuduhan itu boleh sahaja dikatakan tidak betul dan ditarik balik.
“Tak sangka ya… bapak kau yang kononnya baik dan hebat sangat tu rupa-rupanya sanggup buat benda keji pada negara,” kata seorang lagi pelajar dengan nada mengejek.
“Yelah. Ni lah anak setan yang bertopengkan manusia tu. Samalah bapak dan anak! Memang setan keduanya. Tengoklah dia berkawan dengan cina babi ni.” Emil dikutuk teruk oleh rakan-rakan sebayanya.
“Semua diam! Jangan senang-senang mo tuduh bapa kawan gua ni.” Jasper menyuruh semua pelajar diam dan cuba menenangkan keadaan. Namun keadaan menjadi semakin riuh apabila Emil menumbuk pelajar yang bermulut kurang ajar itu.
Bang! Dengan satu penumbuk, pelajar itu jatuh tersungkur di atas lantai.
“Celaka!” jerit salah seorang rakan pelajar tadi sambil meluru untuk menyerang Emil. Tetapi dia ditahan oleh Jasper.
Para pelajar di kantin sudah mula bersorak menyaksikan pergaduhan ini. Salah seorang rakan pelajar kurang ajar itu turun ke lantai untuk membantunya. Pelajar kurang ajar itu mengelap cecair merah yang keluar dari bibirnya.
“Kau celaka Emil Muhayat! Look what you’ve done!” marah pelajar itu sambil merenung tajam kepada Emil dan Jasper.
“Oi! Itu salah lu lah. Sapa suruh lu cari pasal dulu,” balas Jasper.
Pelajar tadi mengepam dan cuba mengayunkan penumbuk kepada Emil dan Jasper. Tetapi dia dihalang oleh rakan-rakan. Rakan-rakan pelajar tadi memintanya bertenang.
Emil dan Jasper beredar dari kantin. Semasa kedua sahabat ini memulakan langkah, ada sahaja suara sumbang menjerit-jerit mengeji Emil.
“Hish... kalau bapak dah samseng... anak pun samsenglah!”
“Biasalah... bapak bodek anak rintik!” Suara-suara sumbang tidak habis-habis mengeji Emil.
Emil menoleh dengan wajah merah padam. Dia hampir bertukar menjadi naga sakti.
“Bro... bawa bertenang. Jom... jangan layan mereka.” Jasper memujuk Emil.
“Mil, please tell me that it’s not true. Gua tak rasa father you sanggup buat benda ni. Ni semua fitnah kan?” kata Jasper. Emil hanya berdiam diri. Dia tidak menjawab soalan Jasper.
Semasa beliau masih hidup, Tuan Muhayat sangat aktif melibatkan diri dalam Persatuan Ibu-Bapa dan Guru-Guru (PIBG) di Sekolah Menengah Putrajaya 1. Beliau juga banyak membantu persatuan tersebut dan membuat amal sedekah kepada sekolah. Tuan Muhayat buat semuanya dengan hati yang ikhlas.
Sikap Tuan Muhayat yang suka bersedekah membuatkan beliau disayangi oleh guru-guru sekolah tersebut. Nama beliau sentiasa dikenang. Namun kini semuanya hancur dengan tuduhan tersebut.
#FailMerah #Bab3 #DugaanKedua #FadneiraImaginativeEmpire #NovelRomansaDewasa #NovelCintaRomantis #NovelMelayu #NovelUrban #BakalTerbit #AdultRomanceNovel #RomanceNovel #ComingSoon #WIP #WritingCommunity #MyWritingCommunity #WritersOfMalaysia #WritersOfASEAN #LadyWriter #RomanceWriter #KaryaFadimaMooneira #FadimaMooneiraWriter #FadimaMooneiraDotCom #FadimaMooneiraBookshelf
READ MORE ABOUT FAIL MERAH
Comments
Post a Comment