FAIL MERAH BAB 2: HOSPITAL

Salam Fadneiras,

Selamat kembali ke F.Mooneira's Bookshelf. Kalian semua apa khabar? Diharapkan kalian semua sihat dan bahagia ^_^

Minggu ini, aku kongsikan Bab 2 novel Fail Merah bersama kalian. Jadi bolehlah kalian semua buat free reading lagi ya ^_^

Sebelum itu, aku juga ingin maklumkan kepada kalian semua bahawa novel Fail Merah telah pun diberi ISBN bar code dan juga telah diberi label HAK CIPTA TERPELIHARA. Oleh itu, tiada bahagian daripada terbitan ini boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau ditukar dalam apa bentuk atau dengan alat apa jua pun, kecuali setelah mendapat kebenaran bertulis daripada Fadneira Imaginative Empire.

Ok'lah, aku tidak mahu membuang masa. So let's check out Fail Merah chapter 2. Bab 2 bertajuk Hospital. Selamat Membaca Lewah ^_^

XoXo,

Fadima Mooneira ^_^

(Penulis Novel Fail Merah)




KUIZ SEJARAH sudah berlalu. Puan Mariah, guru subjek tersebut mengutip kesemua kertas soalan dari meja pelajar.

 

Emil berasa lega kerana dapat menjawab semua soalan dengan baik. Tetapi dia masih memikirkan pesanan Tuan Muhayat tadi.  

 

Tiba-tiba pintu bilik kelas diketuk. Puan Mariah dan semua pelajar menoleh ke arah pintu. Mereka ternampak Puan Asra tercegat di depan pintu. Wajahnya kelihatan resah.

 

“Salam Puan Mariah… boleh saya berjumpa dengan Emil?” pinta Puan Asra dengan nada yang agak resah. Tubuhnya bergerak bagaikan ombak. Wajah Emil berkerut.

 

“Kenapa tiba-tiba sahaja mama datang cari aku? Kenapa nada dan gaya mama nampak resah? Ada berita tidak baik ke?” omel Emil. Dia sudah mula risau. Emil turut memikirkan pesanan Tuan Muhayat tadi dan rasa tidak sedap hatinya selama lima hari ini.

 

“Boleh, Puan Asra. Silakan,” kata Puan Mariah. Puan Asra terus memasuki bilik kelas dan segera mendapatkan Emil.

 

“Mama… kenapa ni?” tanya Emil dengan wajah berkerut. Dia bangun dari tempat duduk, lalu memegang bahu Puan Asra.

 

“Mil, kemas barang cepat, nak. Jom kita ambil Emilia dan segera ke hospital,” beritahu Puan Asra. “Baba dikejarkan ke hospital baru tadi, nak. Ofis dia call mama,” sambung Puan Asra.  

 

“Mama… apa yang dah berlaku kepada baba?” Emil terkejut. Matanya terbeliak.

 

“Kemas sahaja barang kau nak. Kita tak ada masa untuk bercerita panjang sekarang.”

 

Emil menuruti arahan mamanya dan segera mengemas barang. Kesemua pelajar dalam kelas memandang Puan Asra dan Emil dengan wajah berkerut. Ada juga yang sudah mula berbisik dengan rakan sebelah tempat duduk mereka. Puan Mariah pula sedang bermain dengan telefon bimbitnya.

 

Jasper yang duduk di sebelah Emil turut memandang kedua anak-beranak itu dengan dahi berkerut. Tetapi Jasper hanya berdiam diri dan tidak mengeluarkan sebarang kata-kata.

 

“Jom ma…” Emil menepuk lembut bahu Puan Asra selepas bangun dari kerusi.

 

“Puan Mariah… izinkan kami minta diri dahulu.” Emil meminta diri daripada Puan Mariah. Guru muda yang sedang bermain dengan telefon bimbitnya mengangkat muka, lalu mengangguk. Puan Asra dan Emil segera ke sekolah rendah untuk menjemput Emilia.

 

Selepas menjemput Emilia, ketiga anak-beranak itu menaiki teksi menuju ke Hospital Putrajaya. 

 

“Ma…” Emil menyentuh bahu Puan Asra dengan lembut. Dia mahu bertanya sesuatu kepada mamanya.

 

Puan Asra menoleh tanpa mengeluarkan kata-kata. Matanya sudah berkaca jernih. Emil terus membatalkan niatnya untuk bertanya soalan. Emil segera mencapai tangan kanan mamanya.

 

“Bertenang ma… kita doakan semoga baba okey.” Emil meletakkan kepalanya di atas bahu Puan Asra. Puan Asra mengusap kepala Emil dengan tangan kirinya.

 

“Mama…” Emilia pula memeluk tubuh mamanya.  Puan Asra membalas seadanya.

 

 

 



SAMPAI SAHAJA di Hospital Putrajaya, Puan Asra segera mencari bilik rawatan yang menempatkan suaminya.

 

“Puan… saya isteri kepada Tuan Muhayat. Boleh saya tahu di mana dia sekarang? Bagaimana pula keadaannya?” tanya Puan Asra kepada seorang jururawat berbangsa India yang sedang duduk di kaunter. Suaranya masih kedengaran resah.

 

“Tuan Muhayat? Em… setahu saya pesakit itu masih dalam emergency room dan sedang dirawat doktor.” Jururawat itu menjawab soalah Puan Asra.

 

“Puan duduklah dulu. Bawa bertenang ya,” sambung jururawat itu sambil mempelawa Puan Asra duduk.

 

“Jom ma, jom Emi… kita duduk,” ajak Emil. Dia cuba menenangkan dan menguatkan diri walaupun hatinya juga sedang resah.

 

“Kak Asra…” Tiba-tiba kedengaran suara seorang wanita memanggil Puan Asra. Puan Asra, Emil, dan Emilia menoleh. Mereka ternampak Puan Noramah, setiausaha Tuan Muhayat. Puan Noramah ditemani beberapa orang kakitangan. Mereka bersalaman.

 

“Amah... apa yang berlaku ni?” tanya Puan Asra sambil menggenggam kedua belah bahu Puan Noramah. Puan Noramah segera memegang tangan Puan Asra. Dia faham akan perasaan wanita itu sekarang.

 

“Bawa bertenang, Kak Asra. Saya pun tak pasti sebenarnya. Setahu saya macam ini… pagi tadi… Encik Redzwan Yusof ada datang melawat Tuan Muhayat di biliknya. Lepas Encik Redzwan Yusof keluar, keadaan bilik Tuan menjadi begitu sunyi. Tuan langsung tidak keluar dari biliknya.” Puan Noramah menceritakan apa yang berlaku kepada Puan Asra. Nadanya masih tenang. Setiausaha itu berhati-hati menyusun ayatnya agar dapat difahami Puan Asra. Puan Asra hanya mengangguk. Emil pula memasang telinga.

 

“Jam 11.00 pagi tadi, Tuan sepatutnya menghadiri mensyuarat bersama pengurusan tertinggi. Jadi saya masuklah ke bilik Tuan. Takut pula Tuan terlupa akan mesyuarat penting itu. Buka sahaja pintu, saya ternampak Tuan rebah di atas lantai,” sambung Puan Noramah.

 

“Ya Allah… macam mana boleh jadi macam tu?” tanya Puan Asra. Dia sudah mula teresak-esak. Emil segera memegang mamanya. Puan Noramah turut menenangkan Puan Asra.

 

“Terima kasihlah, Amah... sebab bawa Abang Muhayat ke hospital.” Puan Asra mengucapkan terima kasih kepada Puan Noramah dan beberapa kakitangan. 

 

Tidak lama kemudian, seorang doktor yang nampak seusia dengan Tuan Muhayat keluar dari bilik kecemasan. Di dada doktor itu tertulis tanda nama ‘Dr. Iskandar’.  

 

“Salam, boleh saya berjumpa dengan ahli keluarga Tuan Muhayat.” Dr. Iskandar meminta ahli keluarga Tuan Muhayat untuk tampil ke hadapan. Raut wajahnya tidak kelihatan positif. Emil menenangkan diri sebelum mendengar berita yang bakal disampaikan oleh Dr. Iskandar.

 

Puan Asra menghampiri Dr. Iskandar. Emil dan Emilia menuruti mama mereka.

 

            “Ya, Doktor, saya isteri kepada pesakit,” kata Puan Asra kepada Dr. Iskandar. Dr. Iskandar memandang wajah Puan Asra dengan pandangan yang sayu. 

 

“Puan, saya minta maaf. Dukacitanya, suami Puan menghadapi serangan jantung. Pihak kami telah sedaya-upaya untuk menyelamatkan beliau. Tetapi Allah S.W.T lebih menyayanginya. Minta maaf Puan, suami Puan tak dapat kami selamatkan lagi.” Dr. Iskandar berhati-hati menyusun ayatnya. 

 

“Innalillahiwal-hirojiun,” ucap Puan Asra dengan perlahan. Emil juga mengucapkan kalimah yang sama.  

 

Puan Asra terduduk di atas lantai. Hatinya sedih dan sayu. Dia terus menangis. Suami yang sangat dicintai dan disayanginya sudah tiada. Emil, Emilia, Puan Noramah, dan beberapa kakitangan memujuk Puan Asra. Mereka meminta wanita itu untuk bersabar dengan dugaan yang dihadapi.  

 

Emil sedih dan mula teresak-esak. Apa yang disampaikan oleh Dr. Iskandar sukar untuk dipercayainya. Seorang bapa yang sangat dikasihi sudah tiada. Dia dan Emilia kehilangan seorang bapa yang penyayang yang tiada penggantinya.

 

Emil terkenang akan pesanan terakhir Tuan Muhayat kepadanya pagi tadi, kalau apa-apa terjadi kat baba, Emil jaga mama dan Emilia ya. Be the man of the house.  Tuan Muhayat seperti sudah tahu akan takdirnya.

 

“Abang Emil.” Emilia memeluk abangnya. Wajah gadis kecil itu sudah berair. Emil membalas pelukan adiknya. 

 

“Baba dah tak ada ke? Kita dah tak dapat jumpa baba lagi ke?” tanya Emilia dengan nada teresak-esak. Emil tidak menjawab soalan Emilia. Dia hanya memeluk gadis kecil itu. 

 

Be strong.” Emil berbisik kepada Emilia.

 

We have to be strong for mama and both of us,” sambung Emil lagi. 

 

I love you, Abang Emil,” kata Emilia. Suaranya serak. 

 

I love you too. I love baba and mama too,” balas Emil. 

 

Emil menggosok belakang Emilia. Emil menenangkan adiknya. Matanya juga sudah berkaca jernih. 

 

 

 

JASAD ARWAH Tuan Muhayat dikebumikan pada petang hari yang sama di Tanah Perkuburan Islam Putrajaya. Semua ahli keluarga, saudara mara, dan rakan-rakan menghadiri pengebumian tersebut. Adik Tuan Muhayat, Encik Bakri membantu Puan Asra menguruskan pengebumian abangnya.   

 

Tuan Muhayat seorang pegawai polis yang dikasihi ramai. Semua yang hadir sangat sedih dengan pemergian pegawai polis yang baik hati itu.  

 

Setelah selesai pengebumian Tuan Muhayat, semua yang hadir beredar dari kawasan kubur. Hanya Emil sahaja yang tidak berganjak. Emil termenung seorang diri di tengah panas. Wajahnya merenung jauh. 

 

Bro...” Bahu kiri Emil disentuh dari belakang. Emil menoleh. Dia ternampak Jasper yang masih berpakaian sekolah.

 

Kedua sahabat itu berpandangan. Keduanya berwajah sayu walaupun tiada permata jernih di mata masing-masing.

 

“Bro, I’m sorry for the lost. Lu please stay strong,” kata Jasper sambil menepuk bahu Emil. Jasper amat memahami perasaan Emil. Jasper meletakkan lengan kirinya di atas bahu Emil. Jasper menenangkan dan memberi semangat kepada sahabatnya yang sedang berduka. 

 

Emil memegang tangan Jasper. Tanpa berkata apa-apa, Emil mengajak Jasper beredar dari situ. 

 

Di luar kawasan kubur, Emil berjumpa dengan kedua orang tua Jasper, Mr. dan Mrs. Teoh. 

 

Emil, auntie so sorry for the lost,” kata Mrs. Teoh. Emil hanya mengangguk dan memberi hormat kepada wanita berbangsa Cina itu.  

 

Emil dan Jasper rapat sejak dari tingkatan tiga lagi. Mereka selalu melepak dan belajar bersama. Setiap tahun perayaan Tahun Baru Cina, Emil tidak pernah ketinggalan melawat rumah keluarga Teoh. Begitu juga Jasper setiap tahun Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji. Malah Jasper pernah menyambut Ramadan bersama keluarga Tuan Muhayat.

 

Perbezaan bangsa dan agama tidak pernah menghalang Emil dan Jasper untuk berkawan baik. Kedua sahabat karib ini saling menghormati, berkasih sayang, dan memberi sokongan. Oleh kerana persahabatan mereka yang ihklas, kedua orang tua mereka juga berkawan baik. 

 

Keluarga Teoh bukan orang yang berada. Mr. dan Mrs. Teoh adalah peniaga kedai runcit kecil di Putrajaya. Arwah Tuan Muhayat banyak menolong keluarga Teoh. Oleh itu, pemergian beliau sangat dirasai oleh keluarga Teoh.  

 

Jasper juga amat mengagumi arwah Tuan Muhayat. Pada anak Cina itu, arwah Tuah Muhayat dilihatnya sebagai seorang insan yang sangat berdisiplin, berintegriti, baik hati, dan patut dicontohi. Jasper menganggap Tuan Muhayat sebagai idolanya. Sebelum beredar, Mrs. Teoh memeluk Puan Asra dan meminta beliau bersabar dan bertenang. 

 



PADA MALAM hari yang sama, Puan Asra hanya berdiam diri. Emil mengambil tempat di sebelah mamanya di atas sebuah sofa besar berwarna oren. Dia memeluk tubuh dan melentukkan kepala di atas bahu Puan Asra. Puan Asra membalas pelukan anaknya. Kepala Emil dibelai dengan manja dan penuh kasih sayang. Kedua beranak itu tidak berkata apa-apa.

 

Sebagai hamba Allah S.W.T yang beriman, Puan Asra memujuk dirinya untuk terima dan bersabar dengan ketentuan Allah S.W.T. Sejauh mana Puan Asra sayangkan suaminya, Allah S.W.T lebih menyayangi Tuan Muhayat. Emil pula tidak berpuas hati.

 

Bagaimana baba tiba-tiba sahaja terkena serangan jantung? Sedangkan selama ini baba sihat tubuh badan dan bebas dari sebarang penyakit. Baba juga seorang yang menjaga kesihatan dan makan minumnya. Ada apa yang disembunyikan baba selama ini? Tiba-tiba banyak soalan yang bermain di minda Emil. 




#FailMerah #Bab2 #Hospital #FadneiraImaginativeEmpire #NovelRomansaDewasa #NovelCintaRomantis #NovelMelayu #NovelUrban #BakalTerbit #AdultRomanceNovel #RomanceNovel #ComingSoon #WIP #WritingCommunity #MyWritingCommunity #WritersOfMalaysia #WritersOfASEAN #LadyWriter #RomanceWriter #KaryaFadimaMooneira #FadimaMooneiraWriter #FadimaMooneiraDotCom #FadimaMooneiraBookshelf


READ MORE ABOUT FAIL MERAH








Comments

Popular Posts