FAIL MERAH BAB 1: KELUARGA TUAN MUHAYAT & PESANAN

Salam Fadneiras,

Selamat kembali ke F.Mooneira's Bookshelf. Seperti yang dijanjikan minggu lepas, minggu ini aku akan kongsikan Bab 1 novel Fail Merah bersama kalian. Jadi bolehlah kalian semua buat free reading ya ^_^

Sebelum itu, aku juga ingin maklumkan kepada kalian semua bahawa novel Fail Merah telah pun diberi ISBN bar code dan juga telah diberi label HAK CIPTA TERPELIHARA. Oleh itu, tiada bahagian daripada terbitan ini boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau ditukar dalam apa bentuk atau dengan alat apa jua pun, kecuali setelah mendapat kebenaran bertulis daripada Fadneira Imaginative Empire.

Ok'lah, aku tidak mahu membuang masa memandangkan Bab 1 agak panjang. So let's check out Fail Merah chapter 1. Bab1 bertajuk Keluarga Tuan Muhayat & Pesanan. Selamat Membaca Lewah ^_^

XoXo,

Fadima Mooneira ^_^

(Penulis Novel Fail Merah)

PS: Insya-Allah, aku akan kongsikan Bab 2 untuk minggu hadapan. So don't miss out ^_^




Tahun 2004

 

“ABANG! BANGUN!” jerit Emilia di belakang pintu bilik. 

 

Tangan kanan Emilia Muhayat mengetuk pintu bilik tidur abangnya, Emil Muhayat.

 

“Abaaaaaaaang! Baba suruh bangun solat Subuh!” jerit Emilia lagi.

 

Kuat mana pun Emilia menjerit dan mengetuk pintu, orang di dalam bilik langsung tidak menyahut. 

 

“Abang Emil ni hidup lagi ke?” omel Emilia dengan geram. 

 

Emilia memusingkan tombol dan membuka pintu. Dia terus menghampiri tubuh besar yang masih nyenyak di alam mimpi.

 

“Abang Emil! Bangunlah! Baba suruh solat Subuh!” Emilia mengetuk-ngetuk tubuh abangnya.   

 

Emil Muhayat mencelikkan mata. Dia masih mamai. Emil kembali memejamkan mata, mengiringkan tubuh, membelakangkan Emilia, dan meletakkan bantal di atas kepala.

 

“Abaaaaaaaang!” jerit Emilia lagi sambil menggegarkan tubuh Emil. Tetapi Emil tetap buat tak kisah.  

 

“Ish... bising sungguh budak ni… pagi-pagi dah bising,” omel Emil. 

 

Setelah berkali-kali gagal mengejutkan abangnya, Emilia pun terus keluar dari bilik Emil.

 

“Baba! Mama! Abang Emil tak nak bangun. Dia pura-pura mati,” kata Emilia kepada baba dan mamanya yang sedang menikmati sarapan di meja makan.   

 

Puan Asra menghadiahkan senyuman kepada Tuan Muhayat, lalu terus mengangkat punggungnya. Puan Asra menuju ke bilik anak terunanya. Pintu bilik dibuka dan dia menghampiri katil. Puan Asra tersenyum melihat anak terunanya yang masih dibuai mimpi. Ini mesti sebab tidur lewat malam semalam. 

 

Puan Asra melabuhkan punggungnya di hujung katil. Emil tidak lagi meletakkan bantal di atas kepalanya.  

 

“Assalamualaikum.” Puan Asra memberi salam dengan nada yang lembut. Hidung mancung Emil dicuitnya. Perlahan-lahan Emil membuka mata.  

 

“Mama?” Suara Emil kedengaran serak. Dia pula masih mamai.

 

“Tak nak bangun ke Mil? Dah 6.45 pagi ni. Bangun solat Subuh. Nanti nak pergi sekolah. Hari ini bukan hari minggu. Lagi satu, macam mana seronok tidur pun solat tak boleh tinggal tau,” kata Puan Asra sambil tersenyum.  

 

Emil terus bangun dan menuju ke bilik air. Puan Asra tersenyum sambil menggeleng kepala melihat gelagat anak sulungnya yang kadang-kadang liat untuk bangun pagi.

 

Semalam Emil tidur lewat kerana mengulang kaji pelajaran Sejarah untuk menduduki kuiz pada hari ini. Sejarah adalah subjek yang paling digemari Emil. Oleh itu, Emil sentiasa mahu cemerlang dalam subjek tersebut. 

 

Tuan Muhayat merupakan seorang pegawai polis di Special Branch (SB). Beliau kini memegang pangkat Deputy Superintendent (DSP). Tuan Muhayat sangat cinta akan tugasnya, suka berkhidmat untuk rakyat dan negara. Beliau seorang penjawat awam yang bertanggungjawab dan berintegriti.  Selain daripada Special Branch, Tuan Muhayat juga ditugaskan untuk membantu dan bekerjasama dengan sebuah agensi khas di Putrajaya. Agensi itu dikenali dengan nama samarannya, Fail Merah. 

 

Puan Asra pula seorang guru yang mengajar mata pelajaran Matematik di Sekolah Menengah Putrajaya 1, Presint 8, Putrajaya. Beliau sudah mengajar di sekolah tersebut selama tiga tahun. Sebelum ini, beliau bertugas di salah satu sekolah menengah yang terletak di Kuala Lumpur.  

 

Tuan Muhayat dan Puan Asra sudah 19 tahun mendirikan rumah tangga. Kedua pasangan bahagia ini dikurniakan dua orang cahaya mata. Seorang anak lelaki bernama Emil, dan seorang anak perempuan bernama Emilia.  


Illustrasi Emil Muhayat memegang gambar baba dan mamanya, Tuan Muhayat dan Puan Asra (Image: My Artstagram @fmooneira_art)


 

Emil merupakan anak sulung Tuan Muhayat dan Puan Asra, berusia 17 tahun dan bakal menduduki peperiksaan SPM pada hujung tahun ini. Emil menuntut di sekolah yang sama dengan mamanya mengajar. 

 

Emil seorang pelajar yang cemerlang dan gemar membaca buku-buku ilmiah, sejarah, novel-novel bergenre thriller dan penyiasatan. Kata family friends, Emil mempunyai ciri-ciri yang sama seperti Tuan Muhayat.  

 

Emil bercita-cita untuk menjadi seorang diplomat apabila dewasa nanti. Emil juga aktif dalam aktiviti ko-kurikulum dan sukan. Dia sangat gemarkan sukan bola keranjang. Selain itu, Emil juga gemarkan muzik dan dia pandai bermain gitar. 

 

Emilia pula merupakan anak bongsu Tuan Muhayat dan Puan Asra, berusia 10 tahun, dan belajar di Sekolah Rendah Putrajaya 1, Presint 8, Putrajaya. Sama seperti abangnya, Emilia juga seorang pelajar yang cemerlang, dan mata pelajaran terbaiknya ialah Matematik. Emilia mewarisi Puan Asra dari segi kepandaian.  

 

Emil dan Emilia mempunyai jarak umur yang agak besar. Emil tujuh tahun lebih tua daripada adiknya. Tetapi ia tidak sekali membuatkan mereka tidak rapat. Hubungan mereka sebagai adik-beradik sangat akrab. Emil seorang abang yang prihatin dan penyayang kepada Emilia, walaupun dia juga suka mengusik adiknya. Emilia juga sangat sayangkan Emil dan menganggap abangnya sebagai idola, walaupun dia dan abangnya selalu sahaja bergaduh. Bergaduh pun bergaduh manja. Biasalah adik-beradik.

 

15 minit berlalu. Emil turun ke ruang tamu untuk bersarapan bersama keluarganya.

 

“Hah… turun pun budak liat ni sorang,” tegur Tuan Muhayat kepada anak sulungnya. Emil hanya membalas dengan senyuman. 

 

“Mil dah mandi ke belum?” tanya Puan Asra pula. 

 

“Dah mama,” jawab Emil. 

 

“Tapi Abang Emil tak gosok gigi kan?” Emilia sempat mengusik abangnya. Emil mencebik.

 

“Dahlah. Jom Emil, duduk makan. Lepas makan boleh pergi sekolah. Mama buat pancake untuk sarapan,” kata Puan Asra dengan senyuman. 

 

Emil duduk di sebelah Emilia. Dicuitnya bahu Emilia. 

 

“Aaaaaaaahhhhhhh!” Emilia menjerit kesakitan.

 

Mereka semua ketawa berdekah. Suasana sangat meriah dan bahagia sekali. 

 

“Haish… anak-anak bertuah baba ni... tak habis-habis,” kata Tuan Muhayat sambil ketawa.

 

 

SETELAH SELESAI sarapan, keempat anak-beranak menaiki kereta Kia Sportage milik Tuan Muhayat. Tuan Muhayat memandu keretanya menuju ke sekolah. Sekolah Rendah dan Menengah Putrajaya 1 terletak di dalam kompleks yang sama.

 

Setelah sampai di destinasi, Puan Asra menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan suaminya. Puan Asra turut mencium tangan Tuan Muhayat. Suami yang penyayang itu mencium dahi isterinya. Emil dan Emilia juga turut mencium tangan baba mereka sebelum keluar dari kereta. 

 

“Emil,” panggil Tuan Muhayat kepada anak sulungnya.

 

            “Ya, baba.” Emil menyahut dengan lembut. 

 

“Emil, baba nak pesan sesuatu boleh?” tanya Tuan Muhayat. Emil mengangguk.

 

“Kalau apa-apa terjadi kat baba, Emil jaga mama dan Emilia ya. Be the man of the house.” Tuan Muhayat berpesan kepada Emil. Pesanan itu amat bermakna. 

 

Okay, baba, I will do as you just told.”  Emil berjanji sambil menepuk dada sebanyak tiga kali. 

 

Emil menghadiahkan senyuman manis kepada Tuan Muhayat sebelum menutup pintu kereta. Tuan Muhayat sempat membalas senyuman anaknya. Dia terus memandu ke pejabat keduanya di Putrajaya.  

 

Hati Tuan Muhayat tidak tenang sejak lima hari ini. Dia merasakan ada sesuatu yang tidak diingini akan berlaku. Namun, Tuan Muhayat tidak memberitahu sesiapa akan perasaannya. Tuan Muhayat berharap semoga apa yang dirasainya sekarang hanyalah permainan perasaan buat sementara. Tuan Muhayat berdoa semoga semuanya baik-baik sahaja. 

 

 

Illustrasi Emil (semasa zaman remaja) bersama babanya, Tuan Muhayat (Image: My Artstagram @fmooneira_art)


BRO!” Bahu kiri Emil ditepuk dari belakang. Emil menoleh ke kiri lalu terpandang wajah sahabat karibnya, Jasper Teoh.

 

“Eh... Jasper rupanya,” kata Emil.

 

Bro… lima kali gua panggil lu tadi. Sekarang baru perasan ke?” tanya Jasper sambil menunjukkan lima jari.

 

Jasper merupakan sahabat baik Emil. Mereka sangat akrab walaupun berlainan bangsa dan agama. 

 

“Apa pasal gua tengok lu merenung jauh pagi-pagi buta ni?” tanya Jasper lagi. 

 

“Hish... busy body lah dia ni,” kata hati Emil. 

 

“Hmm… aku sebenarnya....,” Emil tergagap-gagap.

 

“Aish! Takkan lu nervous pasal kuiz hari ni kot? Atau lu dok mengelamunkan Nadya?” Jasper mengusik.

 

“Hish! Aku gedebuk kepala tu kang,” balas Emil. 

 

 Emil sebenarnya sedang memikirkan tentang pesanan Tuan Muhayat tadi. Kalau apa-pa terjadi kat baba, Emil jaga mama dan Emilia ya. Be the man of the house. Pesanan Tuan Muhayat tadi berbunyi sangat keramat pada Emil. Sebelum ini, Tuan Muhayat tidak pernah berpesan sedemikian kepada Emil. 

 

Sama seperti Tuan Muhayat, Emil juga berasa tidak sedap hati sejak lima hari yang lalu. Dia merasakan seperti ada perkara yang tidak diingini bakal berlaku kepada keluarganya. Namun, Emil tetap berdoa semoga apa yang dirasainya hanyalah mainan perasaan.

 



#FailMerah #FadneiraImaginativeEmpire #NovelRomansaDewasa #NovelCintaRomantis #NovelMelayu #NovelUrban #BakalTerbit #AdultRomanceNovel #RomanceNovel #ComingSoon #WIP #WritingCommunity #MyWritingCommunity #WritersOfMalaysia #WritersOfASEAN #LadyWriter #RomanceWriter #KaryaFadimaMooneira #FadimaMooneiraWriter #FadimaMooneiraDotCom #FadimaMooneiraBookshelf






Comments

Popular Posts